Tiket penerbangan: Kerajaan Negeri Sarawak perlu cari mekanisme baharu
Fareez Azman
April 17, 2023 22:13 MYT
April 17, 2023 22:13 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sarawak diminta mencari mekanisme baharu dengan mewujudkan lebih banyak syarikat penerbangan untuk beroperasi bagi laluan domestik di negeri itu.
Jelas Setiausaha Agung Sarawak Volunteers, Khairul Anwar Shazali, langkah itu dijangka dapat menstabilkan harga tiket apabila terdapat persaingan dalam pasaran.
"Daripada kita hadkan sesebuah syarikat penerbangan beroperasi dalam negeri, apakah salahnya sekiranya kerajaan negeri mengambil alih atau mewujudkan sebuah lagi syarikat penerbangan milik mereka. Maka persaingan ini akan menjadi sihat dan harga tiket dapat distabilkan," jelasnya pada Isnin.
Tambah Khairul, langkah itu juga dapat mengembangkan industri pelancongan dalam negeri Sarawak.
Selain itu ujarnya, syarikat penerbangan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga perlu melihat semula harga tiket yang dikenakan terutama pada musim perayaan.
"Cukuplah syarikat penerbangan itu dapat semula modal dengan berapa peratus keuntungan. Kita kena perhatikan bagaimana dalam tempoh masa panjang harga yang ditawarkan boleh memberi pulangan modal yang ditetapkan MAVCOM untuk keuntungan syarikat penerbangan tersebut," katanya.