Tiket MotoGP: KBS komited perjuang pengurangan cukai hiburan
Bernama
April 7, 2023 09:15 MYT
April 7, 2023 09:15 MYT
SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited memperjuangkan pengurangan cukai hiburan sebanyak 25 peratus ke atas harga tiket Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia, November ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, selain acara sukan, pihak kementerian juga menerima banyak permintaan bagi pengecualian mahupun pengurangan cukai hiburan untuk acara berkaitan belia.
"Sudah semestinya (harga tiket MotoGP mahal) jadi kita akan perjuangkannya (pengurangan cukai hiburan)," katanya kepada pemberita pada Majlis Ihya Ramadan bersama media dan warga Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Hannah berkata, agak mustahil bagi Malaysia untuk mengembalikan semula perlumbaan Formula 1 (F1) memandangkan kos penganjuran yang terlalu tinggi.
Beliau berkata, sebaliknya, KBS buat masa ini akan mengutamakan pemberian dana kepada SIC termasuk suntikan RM20 juta bagi menaik taraf infrastruktur dalam usaha menarik lebih banyak penganjuran acara tempatan atau antarabangsa.
"Kalau mampu memang kita akan buat (perlumbaan F1) tapi memang kita tak mampu sekarang, so kita akan gunakan dana yang kita ada untuk keutamaan lain dahulu," katanya.
Malaysia menganjurkan perlumbaan F1 sejak 1999 sebelum kerajaan memutuskan untuk menamatkannya pada 2017 ekoran penyusutan pulangan yang ketara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif memberi jaminan terdapat kelainan dalam penganjuran MotoGP di SIC yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 12 Nov ini.
Dalam perkembangan lain, Azhan Shafriman berkata, kerja-kerja penurapan litar di selekoh 7 sehingga 12 daripada keseluruhan litar sepanjang 5.54 kilometer itu telah mencapai tahap 40 peratus.
Beliau yakin kerja-kerja penurapan tersebut dapat disiapkan menjelang minggu terakhir bulan ini sebelum pihaknya dapat menganjurkan Piala Porsche Carrera Asia yang dijadual pada 29 dan 30 April ini.
Kali terakhir SIC menaik taraf litar tersebut adalah pada tahun 2016 dan selepas itu tiada sebarang penurapan baharu dilakukan. - BERNAMA