Tiket laluan pantas edisi khas kereta api Bukit Bendera dilancar

Bernama
Januari 19, 2023 21:02 MYT
Pelancaran tiket laluan pantas edisi khas itu bertujuan memberi cenderahati kenang-kenangan kepada pelancong. - Gambar/ Unsplash
GEORGE TOWN: Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) melancarkan tiket laluan pantas edisi khas sempena memperingati ulang tahun ke-100 kereta api Bukit Bendera.
Pengurus Besarnya Datuk Cheok Lay Leng berkata pelancaran tiket laluan pantas edisi khas itu bertujuan memberi cenderahati kenang-kenangan kepada pelancong.
"Pelancong selalunya akan menyimpan cenderahati daripada destinasi pelancongan popular yang dikunjungi. Memandangkan mereka telah membayar harga premium, kami mahu mereka mempunyai sesuatu yang istimewa untuk dibawa pulang.
"Justeru, sempena ulang tahun ke-100 kereta api Bukit Bendera, kami ingin melakukan sesuatu yang istimewa untuk pelancong dengan memberikan mereka tiket edisi khas untuk dibawa pulang," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran ulang tahun berkenaan yang disempurnakan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai penyelenggaraan perkhidmatan kereta api funikular berkenaan, Cheok berkata penyelenggaraan dilakukan secara harian, mingguan dan bulanan.
"Kami mahu meminimumkan gangguan perkhidmatan keretapi funikular, tetapi ia juga bergantung kepada keadaan di luar jangka," katanya.
Menurutnya jika berlaku sebarang gangguan perkhidmatan, usaha mengenal pasti punca masalah itu dilakukan serta-merta dan langkah akan diambil untuk menyambung semula perkhidmatan kereta api funikular.
-- BERNAMA
#kereta api bukit bendera #pulau pinang #tiket laluan pantas #edisi khas
;