Tiket kapal terbang: Macam nak beli KFC tapi pergi McDonald's - Loke sindir Ka Siong

Ridauddin Daud
April 17, 2023 13:56 MYT
Loke pada sidang media di bangunan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Menteri pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hairan bagaimana Datuk Seri Wee Ka Siong hanya memeriksa harga tiket kapal terbang menggunakan satu aplikasi yang sama meskipun menggunakan tiga telefon bimbit.
Menurutnya, sebagai bekas Menteri Pengangkutan, Ka Siong sepatutnya tahu setiap syarikat penerbangan ada aplikasi masing-masing, bukannya hanya ada aplikasi AirAsia seperti digunakan beliau.
Menurutnya, bekas Menteri Pengangkutan juga seharusnya mendidik rakyat mendapatkan tiket termurah dengan membandingkan pelbagai aplikasi, bukan hanya melihat kepada satu aplikasi semata-mata.
"Mantan Menteri takkan tak tahu bahawa Malaysia Airlines (MAS) ada aplikasi sendiri. Kalau periksa tiket MAS, mengapa guna 'AirAsia app'.
"Ini macam m nak beli KFC tapi pergi ke McDonald's. Jawapan diterima jauh berlainan (antara kedua-dua aplikasi).
"Saya berharap Wee tidak keluar kenyataan mengelirukan orang ramai.
"Orang ramai mungkin tak faham bagaimana harga tiket ditentukan oleh syarikat penerbangan atau apakah mekanisme syarikat untuk tentukan harga tersebut.
"Tapi bekas menteri semestinya tahu perkara itu," katanya pada sidang media di bangunan Kementerian Pengangkutan di sini pada Isnin.
Tambah beliau, MAS telah menjual sebanyak 78 peratus kerusi untuk musim perayaan dengan 78 peratus daripadanya dijual pada harga RM209 ke RM841 untuk kelas ekonomi.
Selain itu, katanya, AirAsia juga menawarkan harga tiket tetap berharga RM199 ke Sarawak dan RM249 ke Sabah bagi memenuhi permintaan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Tegasnya, memang ada tiket mahal namun ia biasanya melibatkan tiket dibeli pada saat akhir dan majoriti tiket dijual pada harga di bawah RM841 pada musim perayaan kali ini.
"Saya tidak kecewa dengan beliau (Ka Siong). Jadi saya mahu undang beliau, pada tarikh yang beliau pilih, 20 April.
"Saya buat tawaran terbuka, pada jam 10.15 malam untuk pergi lepaskan penumpang dari Kuala Lumpur je Tawau, harga tetap, RM249 untuk semua 135 penumpang.
"Kalau beliau tidak percaya ada tambang murah, saya undang beliau datang dan beliau boleh temu bual setiap penumpang," ujarnya.
Sementara itu, Anthony Loke mengakui walaupun sudah ditambah kapasiti penerbangan, jumlahnya masih belum mencukupi namun menegaskan, kerajaan akan sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti supaya harga purata dapat dikurangkan.
#Anthony Loke Siew Fook #tambang kapal terbang #Wee Ka Siong #AirAsia
;