Tiket Feri Langkawi: Langkah tepat tidak naikkan harga menjelang TMK2025 - Exco

Abd Hadi Che Awang
Disember 17, 2024 13:20 MYT
Langkah membatalkan kenaikan kadar tambang feri yang pada awalnya dijadualkan berkuat kuasa 1 Januari depan disifatkan sebagai satu langkah tepat menjelang Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025). - Gambar hiasan
KUALA KEDAH: Langkah yang dibuat pihak konsortium Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd bagi membatalkan kenaikan kadar tambang feri yang pada awalnya dijadualkan berkuat kuasa 1 Januari depan disifatkan sebagai satu langkah tepat menjelang Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin menjelaskan, tindakan itu juga membuktikan komitmen pihak pengusaha dalam membantu kerajaan negeri dalam mempromosi dan merancakkan sektor pelancongan di negeri Jelapang Padi terutamanya melibatkan Pulau Langkawi.
Menurutnya, semua pihak terutamanya pemain industri pelancongan di Kedah perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan penting agar tidak menjejaskan promosi TMK2025 serta yang telah dijalankan.
Beliau turut memaklumkan, pihak konsortium feri memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga tiket feri pada tahun hadapan sekiranya bantuan melibatkan subsidi diesel terus diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
"Saya tidak merasakan pihak feri akan naik harga (tiket pada Tahun Melawat Kedah sedang berlangsung), kalau naik sudah tentu sedikit sebanyak akan memberi satu kesan yang sedikit sebanyak kepada kempen Tahun Melawat Kedah (itu sendiri),
"(Atas) sebab itu saya mohon agar depa (mereka) pertimbang (keputusan sebelum ini) dan batalkan kenaikan harga itu dan saya yakin Insya-Allah mereka (juga) sama-sama hendak bantu (bangunkan) sektor pelancongan di (negeri) Kedah ini,” jelas beliau.
Mohd Salleh berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Sumbangan Mangsa Banjir DUN Kubang Rotan, di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Kubang Rotan, di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, konsortium Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd turut sedia untuk bekerjasama bagi menambah bilangan perjalanan feri-feri bersaiz kecil sebaik sahaja isu membabitkan alur pelayaran khususnya di Terminal Feri Kuala Kedah selesai sekitar Februari tahun hadapan.
Selain itu, consortium berkenaan juga difahamkan akan mengambil langkah untuk menambah kekerapan perjalanan feri ketika penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) yang dijadual Mei tahun hadapan termasuk perjalanan pada waktu malam.
Terdahulu, pihak konsortium membatalkan kenaikan kadar tambang feri yang dijadualkan dikuatkuasakan 1 Januari depan susulan nasihat Kementerian Pengangkutan.
Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, pembatalan itu membabitkan kenaikan kadar tambang yang ditetapkan bagi warganegara Malaysia.
Sebelum ini Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd dilapor mengumumkan kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa 1 Januari 2025 di antara RM3 hingga RM10.50 sehala mengikut kategori penumpang dan laluan perjalanan.
Media kemudian melaporkan Kementerian Pengangkutan memberi amaran untuk membatalkan pemberian subsidi diesel terhadap pengusaha feri jika meneruskan kenaikan harga tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.
#tiket feri Langkawi #Tahun Melawat Kedah #Langkawi Ferry Line Ventures #tambang feri
;