Tiket feri Labuan-Menumbok hingga 8 Mei habis dijual
Bernama
Mei 6, 2018 04:59 MYT
Mei 6, 2018 04:59 MYT
Tiket untuk perkhidmatan feri kenderaan 'roll on roll off ' (ro-ro) dari Labuan ke tanah besar Sabah mulai Ahad (semalam) sehingga 8 Mei telah habis dijual, mengakibatkan pengundi tanah besar di pulau itu tertanya-tanya bagaimana mereka hendak melaksanakan hak sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini.
Terdapat tiga feri -- Galaxy, Kimanis dan Putrajaya 1 - diuruskan dua pengendali iaitu Labuan Mainland Link Sdn Bhd dan Juta Bonus Sdn Bhd, yang pada masa ini menyediakan perkhidmatan dari Labuan ke Menumbok, melibatkan lapan perjalanan setiap hari.
Daripada lapan perjalanan itu, enam dikendalikan oleh Labuan Mainlink dan dua perjalanan oleh Juta Bonus.
Seorang petugas tiket di Labuan Mainland Link, ketika dihubungi berkata tiket yang masih ada hanyalah untuk perjalanan ke Menumbok di tanah besar pada pukul 11.30 pagi dan 5.30 petang pada 9 Mei.
Pengendali perkhidmatan feri masih belum memutuskan sama ada akan menyediakan perkhidmatan tambahan pada hari pengundian disebabkan masalah tenaga kerja, dan jika perkara itu dapat ditangani, pengumuman mengenainya akan dibuat kemudian.
Bagaimanapun, tiket feri ekspres bagi penumpang masih boleh diperoleh di terminal feri Kota Kinabalu, dan mereka yang bercadang melakukan perjalanan ke Kota Kinabalu dengan bas dari Menumbok, boleh berlepas dari Labuan dengan menaiki bot laju ke Menumbok dan Sipitang.
Seorang penduduk di sini, Terence Chong, 45, berkata beliau membeli tiket feri untuk perjalanan pada 8 Mei dari Labuan ke Menumbok, sejurus selepas pembubaran parlimen pada 7 April, untuk membolehkan beliau, isteri dan dua anak lelaki pulang ke Penampang untuk mengundi pada 9 Mei.
"Saya beli tiket pada 9 April, kerana saya tahu tiket feri akan kehabisan jika saya beli pada saat terakhir," katanya.
-- BERNAMA
#9 Mei
#feri
#Juta Bonus
#Labuan Mainlink
#MalaysiaMemilih
#mengundi
#penumpang
#pilihan raya
#PRU14
#rakyat
#tiket
#undi