Tiket ETS KTMB sempena Aidilfitri hanya berbaki 20 peratus

Bernama
Mac 14, 2025 07:00 MYT
Mohd Rani Hisham berkata, jumlah itu termasuk 12,600 tiket tambahan bagi tempoh perjalanan yang bermula 28 Mac hingga 6 April. - Gambar fail/Bernama
ALOR GAJAH: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan, tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang dijual sejak 3 Mac lepas kini hanya berbaki 20 peratus daripada lebih 100,000 tiket yang ditawarkan sempena perayaan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, jumlah itu termasuk 12,600 tiket tambahan bagi tempoh perjalanan yang bermula 28 Mac hingga 6 April dengan merangkumi empat perkhidmatan tambahan iaitu dari Gemas ke Butterworth dan dari Gemas ke Padang Besar.
"Dahulu waktu kemuncak penggunaan keretapi adalah sebelum dan selepas raya tetapi kini, trend sudah berubah kerana penumpang yang tidak mahu berdepan kesesakan jalan raya akan menggunakan perkhidmatan ini ketika hari raya, juga untuk tujuan ziarah.
"Jadi dalam tempoh lebih kurang 10 hari itu, kita sediakan tiket-tiket ETS bagi memudahkan pergerakan penumpang. Sementara perjalanan arah selatan, tiket KTM Intercity yang merangkumi perjalanan dari Gemas ke JB Sentral dan Kulai Sentral yang terjual sudah mencecah 60 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sajian Kasih Ramadan: Edaran Bubur Lambuk Kepada Penumpang KTMB sempena ulang tahun ke-140 di Stesen Pulau Sebang, di sini, pada Jumaat.
Mohd Rani Hisham, berkata sepanjang tempoh operasi itu, tren ETS tambahan akan menawarkan 1,260 tempat duduk sehari termasuk pilihan tempat duduk kelas perniagaan dengan jumlah keseluruhan 12,600 tempat duduk disediakan bagi memenuhi permintaan penumpang.
Terdahulu, 1,400 bubur lambuk diagihkan kepada penumpang KTMB sebagai tanda penghargaan terhadap penumpang setia mereka, selain menjadi inisiatif memperkukuhkan kerjasama dengan rakan strategik dan penduduk setempat sejajar dengan sambutan ulang tahun ke-140 tahun KTMB.
-- BERNAMA
#KTMB #Aidilfitri #ETS #tiket tambahan
;