Tiket bas balik raya laris bak 'pisang goreng panas'

Bernama
April 20, 2022 16:32 MYT
Penjualan tiket bas tahun ini sangat menggalakkan berbanding tahun lepas yang menyaksikan sekatan pergerakan rentas sempadan masih dikuat kuasa. - Gambar hiasan/ Bernama
SHAH ALAM: Kurang dua minggu lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam Fasa Peralihan ke Endemik, jualan tiket bas ekspress ke semua destinasi di semenanjung negara dilihat laris dijual 'bak pisang goreng panas'.
Tinjauan Bernama di Terminal 17, di Seksyen 17, di sini mendapati sebagaimana kelaziman tiket bas ekspres ke Pantai Timur terlebih dahulu habis terjual berbanding ke negeri lain, terutamanya tiket ke Kelantan yang laris dijual sejak minggu pertama penjualannya, bermula pada 1 April lepas.
Suasana di stesen itu juga dilihat agak lengang dengan hanya beberapa pengunjung datang untuk membeli tiket.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata setakat hari ini 11,392 keping tiket terjual, dan majoriti pelanggan dilihat tidak menunggu saat akhir untuk membeli tiket.
"Mereka membeli tiket sejak hari pertama tiket itu mula dijual. Tahun ini penjualan tiket sangat menggalakkan berbanding tahun lepas kerana hanya beberapa pergerakan penting sahaja dibenarkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Shahrin berkata pada tahun ini 45 peratus tiket dibeli secara dalam talian dan beliau menjangka penjualan tiket itu akan terus meningkat pada minggu ini.
Sementara itu seorang pekerja penghantar makanan, Zulazham Mohd Rayes, 36, ketika ditemui di sini berkata beliau yang membeli tiket ke Alor Star, Kedah pada 30 April depan bagi pihak rakannya mendapati tiket ke utara masih ada, namun hanya pada tarikh tertentu sahaja.
"Rakan saya pilih naik pengangkutan awam sebab mahu jimat, jika memandu sendiri kos untuk balik (ke kampung) akan lebih besar. Lagipun tahun ini ramai yang akan pulang beraya di kampung, jalan pasti sesak," katanya.
Kerani, Norasmat Ahmad, 28, pula berkata beliau telah membeli tiket untuk pulang ke Jerantut, Pahang sejak hari pertama tiket itu mula dijual, dan dijadual kembali ke kampung halamannya pada 28 April depan.
"Saya beli awal kerana khuatir tiket bas habis, apabila kerajaan umum tiada sekatan perjalanan akan dikenakan pada Hari Raya Aidilfitri, saya terus rancang tarikh untuk pulang ke kampung," katanya.
-- BERNAMA
#balik raya #Aidilfitri #tiket bas #laku keras
;