Tikam isteri sebelum terjun pangsapuri

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 4, 2022 18:57 MYT
Pasukan forensik PDRM melakukan kerja-kerja siasatan di kediaman mangsa di Paya Terubong, George Town. - Gambar ihsan Mamu Jarum
GEORGE TOWN: Gara-gara perselisihan faham, seorang lelaki bertindak menikam isterinya dengan sebilah pisau sehingga mati sebelum terjun dari kediaman mereka di tingkat 12, sebuah pangsapuri di Paya Terubong di sini, pada Jumaat pagi.
Lelaki berusia 54 tahun itu ditemui orang awam di tingkat bawah pangsapuri tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.38 pagi.
Katanya, polis yang tiba di tempat kejadian menemui mayat mangsa berhampiran parkir pangsapuri berkenaan sebelum mayatnya di hantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, Saravanan berkata, lima jam selepas kejadian itu, seorang wanita warga emas tampil ke balai polis berhampiran dan memaklumkan gagal menghubungi anak perempuannya yang merupakan isteri kepada mangsa.
Wanita itu turut mendakwa rumah anak perempuannya turut berkunci dari dalam dan meminta bantuan polis untuk menjalankan siasatan.
Polis yang melakukan pemeriksaan kemudiannya menemui seorang wanita terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan sudah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa menemui dua kesan tikaman iaitu di paha dan leher mangsa. Pasukan forensik yang menjalankan siasatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia” katanya.
Saravanan berkata, polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Jelasnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham dan pergaduhan antara pasangan tersebut sebelum lelaki tersebut menikam isterinya dan bertindak terjun dari tingkat 12 pangsapuri itu.
“Hasil siasatan kita mendapati mangsa yang terjun dari bangunan ini adalah suami kepada wanita yang ditemui dalam bilik itu. Punca kejadian kita syaki berlaku perselisihan faham dan pergaduhan antara pasangan tersebut sebelum si suami bertindak menikan isterinya dan terjun bangunan” ujar Saravanan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HPP untuk proses bedah siasat.
#tikam isteri #terjun pangsapuri #Perselisihan Faham #paya terubong
;