Tikam bayi sendiri: Mahkamah Tinggi tetap 8 Mac tentu kebenaran ikat jamin remaja

Nur Fazlizai Ali
Mac 3, 2022 19:35 MYT
Pada 15 Februari lalu seorang remaja perempuan 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman atas pertuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkan dalam kejadian di sebuah rumah di daerah Kemaman. - Gambar fail/ Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 8 Mac ini bagi menentukan kebenaran ikat jamin remaja perempuan yang berdepan pertuduhan membunuh bayi lelakinya pada Februari lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan peguam tertuduh, hari ini.
Peguam Sangeet Kaur Deo berkata pihaknya telah memfailkan permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret Kemaman yang tidak membenarkan remaja terbabit diikat jamin .
Katanya, pihaknya memohon Mahkamah Tinggi menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret yang dibuat pada 15 Februari lalu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud, membantah permohonan berkenaan dan meminta Mahkamah Tinggi menolaknya kerana menyifatkan keputusan Mahkamah Majistret sebelum ini adalah wajar.
BACA: Tikam bayi hingga maut: Ibu muda 15 tahun didakwa membunuh
Pendakwaan diwakili Ahmad Fadhli mahmud dan Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili Sangeet Kaur; Ramkarpal Singh dan Harshaan Zamani mewakili tertuduh.
Pada 15 Februari lalu seorang remaja perempuan 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman atas pertuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkan dalam kejadian di sebuah rumah di daerah Kemaman.
#tikam bayi hingga maut #remaja 15 tahun #bunuh bayi #terengganu
;