Tiga warga Turki dihantar pulang - Ketua Polis Negara

Astro Awani
Mei 12, 2017 09:25 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) yang mengesahkan perkara tersebut memaklumkan ketiga-tiga mereka menaiki penerbangan ke Ankara.
Tiga warga Turki yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengganas, dihantar pulang ke negara asal mereka malam tadi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu tweet hari ini mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan ketiga-tiga mereka menaiki penerbangan ke Ankara.

@PDRMsia confirmed that Turkish Nationals; MTURGAY KARAMAN; IHSAN ASLAN and ISMET OZCELIK was deported back to Ankara last night.

— Khalid Abu Bakar (@KBAB51) May 12, 2017
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu dalam satu kenyataan media, Khalid memaklumkan suspek warga terbabit adalah Turgay Karaman 43, Ihsan Aslan 39, dan Ismet Ozcelik, 58.M
Mereka diusir kerana disyaki terlibat dengan pertubuhan pengganas.
“Pada 11 Mei 2017, Bahagian Counter Terrorism cawangan khas Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah terlibat dalam operasi pengusiran tiga lelaki warga negara Turki yang disyaki terbabit dengan kumpulan ‘Fetullah Terrorist Organization’ (FETO).
“FETO telah diwartakan sebagai pertubuhan pengganas oleh kerajaan Turki dan Organization of Islamic Cooperation (OIC),” kata Khalid.
Ketiga-tiga warganegara Turki tersebut sebelum ini ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas) 2012 pada 2 dan 4 Mei 2017 di tiga lokasi berasingan.
“PDRM akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan atau anasir pengganas asing yang cuba menjadikan Malaysia sama ada sebagai pusat logistik, tempat perlindungan, pengumpulan dana atau pangkalan operasi mereka bagi melancarkan serangan sama ada di Malaysia atau pun terhadap negara-negara asing,” menurut kenyataan itu lagi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan mereka akan dihantar pulang ke negara asal dan bukan ke negara lain.
Isteri kepada Turgay Karaman, Ayse Gul Karaman sebelum ini merayu kepada kerajaan Malaysia supaya tidak menghantar pulang suaminya ke Turki kerana bimbang akan diseksa.
Pada minggu lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis menahan dua lelaki warga Turki terbabit kerana mengancam keselamatan negara. Sebelum itu, isteri mereka mendawa bahawa kedua-dua lelaki itu diculik.
Lelaki warga Turki ketiga ditahan polis pada 4 Mei di Pahang atas sebab serupa.
#Ankara #Ketua Polis Negara #Khalid Abu Bakar #KPN #Turki #Zahid Hamidi