Tiga warga Myanmar ditahan masuk ke Malaysia melalui Sungai Golok
Bernama
Mei 21, 2024 16:00 MYT
Mei 21, 2024 16:00 MYT
KOTA BHARU: Tiga lelaki warga Myanmar ditahan ketika cuba masuk ke negara ini melalui Sungai Golok, malam tadi.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua warga asing berusia 28 hingga 39 tahun itu ditahan di Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri pada 8.30 malam.
Menurut kenyataan itu, pasukan beroperasi sedang melaksanakan rondaan telah mengesan dan menahan sekumpulan orang awam yang menyeberangi Sungai Golok menggunakan sampan dari arah Thailand.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua orang awam itu merupakan pendatang haram yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan cuba masuk ke Malaysia secara haram untuk mencari peluang pekerjaan.
"Turut dirampas adalah dua telefon bimbit dan wang tunai mata wang Malaysia, Myanmar dan Nepal dengan anggaran nilai keseluruhan RM 1,067," menurut kenyataan itu.
Kesemua mereka diserahkan kepada Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.
"Pasukan operasi akan terus mempertingkatkan rondaan serta kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.
-- BERNAMA