Tiga warga Indonesia ditahan bantu siasatan penemuan mayat di Sepang

Bernama
April 16, 2022 20:40 MYT
Tiga lelaki warga Indonesia ditahan di Padang Jawa bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan seorang lelaki warga Bangladesh yang mayatnya ditemukan di tepi Jalan Sepang-Salak. -Gambar hiasan
SEPANG: Tiga lelaki warga Indonesia termasuk seorang pemastautin tetap ditahan di Padang Jawa, Shah Alam awal pagi Sabtu bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan seorang lelaki warga Bangladesh yang mayatnya ditemukan di tepi Jalan Sepang-Salak di sini kelmarin (15 April).
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi hari ini berkata kesemua individu berusia antara 24 dan 50 tahun yang ditahan dalam satu serbuan kira-kira 1 pagi semalam itu menafikan terlibat dalam kes pembunuhan berkenaan.
Wan Kamarul Azran berkata menerusi risikan polis, mangsa berumur 25 tahun mempunyai seorang teman wanita warga tempatan yang pernah berkahwin dengan seorang warga asing dan mempunyai tiga orang anak.
Menurutnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), suami wanita berkenaan telah balik ke Indonesia dan pulang ke Malaysia pada Ogos 2021 dan setelah mendapati isterinya berkawan dengan mangsa, suaminya marah dan menceraikan isterinya.
Kelmarin, satu mayat lelaki tanpa identiti dalam lingkungan 20-an hingga 30-an ditemukan di tepi Jalan Sepang-Salak dengan kesan kecederaan di perut serta tangan terikat dengan wayar kabel.
Mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan berpakaian baju kemeja-T warna putih berkolar, berseluar panjang hitam dan pelitup muka di bawah dagu, serta tiada kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada bahu.
Wan Kamarul Azran berkata pembunuhan mangsa dipercayai bermotifkan cemburu dan dendam.
-- BERNAMA
#Tiga lelaki warga Indonesia ditahan #Jalan Sepang-Salak #pembunuhan seorang lelaki warga Bangladesh #Wan Kamarul Azran Wan Yusof