Tiga warga Indonesia didakwa edar lebih 40kg dadah

Sinar Harian
Julai 12, 2023 15:28 MYT
Ketiga-tiga tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Tiga rakan warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu atas pertuduhan mengedar 40 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, akhir bulan lalu.
Tertuduh Gunawan dan Amirullah masing-masing berusia 33 tahun dan Suryadi, 31, mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Nabilah Nizam.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah daripada ketiga-tiga tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didapati mengedar dadah jenis methamphetamine, berat kasar 40,760 gram di pesisiran Pantai Klebang di sini, sekitar jam 10.30 malam pada 28 Jun lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2)Akta yang sama.
Sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ehsan Nasarudin manakala ketiga-tiga mereka tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Ogos depan sebagai sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan kimia.
Tiada jaminan ditawarkan kepada ketiga-tiga tertuduh. -- Sinar Harian
#warga Indonesia #edar dadah #Mahkamah Majistret Melaka #Pantai Klebang
;