Tiga warga emas ditipu lebih RM500,000 didakwa punyai tunggakan cukai tanah

Bernama
September 21, 2019 18:35 MYT
Golongan warga emas dinasihat agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang mempunyai pelbagai kaedah menipu wang mangsa. - Gambar fail
Tiga warga emas ditipu lebih RM500,000 oleh sindiket penipuan yang mendakwa mereka mempunyai tunggakan cukai tanah yang perlu dijelaskan agar tidak diusir keluar dari rumah di Jalan Tukang Besi di sini, sejak akhir 2015.
Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong yang juga Setiausaha DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li berkata, tiga mangsa tersebut, seorang wanita berusia 76 tahun dan dua lelaki berumur 65 dan 68 tahun, pada mulanya dimaklumkan oleh seorang wanita, iaitu anak angkat wanita warga emas tersebut, bahawa dia menerima surat daripada pihak kerajaan berkaitan cukai tanah rumah yang diduduki tiga beradik yang perlu segera dijelaskan.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa yang terkejut dan takut dengan berita tersebut kemudian diperkenalkan anak angkat wanita tersebut yang berusia 40-an kepada seorang peguam wanita dikenali sebagai 'Siong' bagi membantu menyelesaikan masalah itu.
"Peguam itu hanya dikenali melalui anak angkat wanita warga emas itu dan mereka hanya berkomunikasi khususnya berkaitan jumlah wang yang perlu dibayar melalui telefon dalam tempoh akhir 2015 hingga awal 2019.
"Wang tersebut pula akan diberi secara tunai kepada anak angkatnya untuk diserahkan kepada peguam terlibat dan lebih 10 transaksi penyerahan wang berlaku dalam tempoh itu melibatkan jumlah antara RM1,000 hingga RM14,000," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Sabtu.
Yeo, yang juga seorang peguam, berkata jumlah wang yang dibayar juga termasuk yuran guaman peguam 'Siong' terlibat dan wanita itu memaklumkan terdapat 13 lagi keluarga yang menghadapi situasi sama seperti tiga beradik itu.
Beliau berkata, Siong juga mengingatkan ketiga-tiga mangsa untuk merahsiakan masalah yang dihadapi mereka dan 13 keluarga lain sekiranya tidak mahu diusir keluar dari rumah atau dipenjarakan.
Katanya ketiga-tiga beradik hidup dalam ketakutan dan kegelisahan dalam tempoh tersebut dan semua duit serta simpanan mereka yang menjalankan perniagaan menjual sayur habis diserahkan kepada sindiket itu.
Beliau berkata masalah mereka bagaimanapun diketahui adik bongsu mereka yang tinggal di luar negara ketika balik melawat mereka pada awal 2019 sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Bandar Hilir pada April tahun ini.
"Justeru saya ingin mengingatkan terutama kepada golongan warga emas agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang mempunyai pelbagai kaedah menipu wang mangsa dan perlu lebih peka dan berhati-hati," katanya.
Beliau berkata mereka juga perlu segera membuat laporan polis sekiranya rasa tertipu atau merujuk sebarang masalah yang dihadapi dengan ADUN masing-masing.
-- BERNAMA
#cukai tanah #mangsa penipuan #scam #sindiket penipuan #transaksi wang
;