Tiga warga asing ditahan beri rasuah kepada anggota polis

Siti Nur Aqilla Omar
September 4, 2021 21:48 MYT
Menurut SPRM, tiga lelaki berkenaan yang berusia 30 hingga 40-an itu ditahan kira-kira 3.30 petang Sabtu di Pejabat SPRM Johor. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Tiga lelaki warganegara India ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor atas kesalahan memberi wang rasuah kepada anggota polis.
Menurut SPRM dalam satu kenyataan, tiga lelaki berkenaan yang berusia 30 hingga 40-an itu ditahan kira-kira 3.30 petang Sabtu di Pejabat SPRM Johor, di sini.
Katanya hasil siasatan yang dijalankan mendapati salah seorang suspek telah memberi wang rasuah sebanyak RM2,900 kepada anggota polis supaya tidak diambil tindakan kerana kesalahan melanggar Peraturan Pelan Pemulihan Negara 17(1) PPDPPB 2020.
"Kesemua suspek yang bertugas di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) itu ditahan bagi kesalahan berkumpul semasa tempoh PKP.
"Suspek ditahan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit ksalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #SPRM #Pelabuhan Tanjung Pelepas #warganegara India #Rasuah #PPN
;