Tiga wanita termasuk dua beradik lemas ketika mandi di Pantai Batu Layar

Siti Nur Aqilla Omar
November 10, 2019 20:29 MYT
Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati tiga mangsa lemas yang dilaporkan telah dijumpai oleh orang awam. - Foto JBPM
Tiga wanita, termasuk adik-beradik lemas ketika sedang mandi di kawasan Pantai Batu Layar, Desaru, di sini.
Ketua Balai Penawar, Penguasa Bomba Kanan Mohd Fadli Ismail berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu dari orang awam kira-kira 5.35 petang dan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pungai digegaskan ke lokasi.
Katanya, setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati tiga mangsa lemas yang dilaporkan telah dijumpai oleh orang awam.
"Mangsa yang lemas adalah adik-beradik Siti Hajjar Adila Mohd Rohim, 25 dan Ummu Sulaiin Mohd Rohim, 23 serta seorang lagi wanita Asiah Abdul Rahman, 41.
"Status hubungan adik-beradik dan wanita itu tidak diketahui, namun difahamkan mangsa ke sana untuk ke rumah ibu sedara mereka.
"Mangsa telah hanyut kira-kira 3 kilometer dari tempat dilaporkan lemas," katanya dalam satu kenyataan.
Kata Mohd Fadli, punca kematian masih dalam siasatan.
"Ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal oleh pihak KKM dan mayat kesemua mangsa diserah kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
#Asiah Abdul Rahman #Balai Penawar #BBP Pungai #Desaru #Pantai Batu Layar #Siti Hajjar Adila Mohd Rohim #Ummu Sulaiin Mohd Rohim
;