Tiga wanita tempatan dipanggil bantu siasatan kes conteng mural pemimpin negara
Fareez Azman
September 3, 2020 14:35 MYT
September 3, 2020 14:35 MYT
Polis telah memanggil tiga wanita tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes conteng mural pemimpin negara.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kesemua wanita berusia diantara 25 hingga 35 tahun itu dipanggil tiga minggu lalu.
"Pihak kami masih jalankan kerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan secara teknikal. Tiga minggu lepas, pihak kami telah menemuduga tiga wanita yang pada mulanya kita syaki mereka terlibat.
"Apabila kita menemuduga mereka, kita dapati mereka ada alabi yang kukuh dan tidak boleh sabitkan mereka dalam jenayah tersebut," katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran 'Neighbourhood Watch Programme' di Subang Bestari Seksyen U5, Shah Alam pada Rabu.
Bagaimanapun ketiga wanita berkenaan telah dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan yang diperoleh. Namun jelasnya, siasatan diteruskan terutama dalam aspek teknikal.
Pada 20 Julai lalu, satu rakaman video tular memaparkan dua kelibat wanita merosakkan mural pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam.
Video berdurasi dua minit 20 saat itu antara lain memaparkan tindakan vandalisme yang dilakukan termasuk pada mural Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
#Bukit Aman
#Conteng
#Muhyiddin Yassin
#Mural
#PDRM
#Pemimpin Negara
#polis
#shah alam
#Siasat
#Vandalisme
#Wanita tempatan
#Yang di-Pertuan Agong