Tiga wanita Malaysia menang Anugerah Women of the Future
Astro Awani
Jun 25, 2020 22:13 MYT
Jun 25, 2020 22:13 MYT
Tiga rakyat Malaysia antara sepuluh wanita di Asia Tenggara dinamakan sebagai pemenang Anugerah Women of the Future Awards, yang julung kalinya diadakan secara maya kerana pandemik COVID-19.
Jurugambar Annice Lyn menang dalam kategori Kategori Kesenian dan Kebudayaan, Pengasas dan Pengarah Refuge for the Refugees Heidy Quah menang dalam kategori Kategori Perkhidmatan Awam dan Komuniti sementara Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia Dr Bee Lynn Chew menang dalam kategori Sains, Teknologi dan Digital.
Anugerah Women of the Future Awards diasaskan di United Kingdom pada 2006. Ia diangkat ke peringkat rantau Asia Tenggara sejak 2018 untuk memberi pengiktirafan kepada wanita dari pelbagai bidang sekitar rantau ASEAN.
“Kita sedang menghadapi tempoh yang luar biasa. Oleh itu, kita juga memerlukan kepimpinan yang luar biasa. Anugerah ini membuktikan bakat pemimpin wanita dalam membuka jalan dan membawakan perubahan positif kepada pelbagai sektor dan industri,” kata Duta Global Women of the Future The Countess of Wessex.
Sementara itu, pengasas anugerah Women of the Future, Pinky Lilani berkata walaupun anugerah tersebut terpaksa diadakan secara maya tahun ini, visi dan motivasi anugerah itu kekal sama iaitu untuk mengetengahkan kejayaan wanita-wanita berbakat serta menjadi platform untuk menggalakkan perkongsian pengalaman dan kerjasama rentas sempadan.
“Saya amat kagum dengan kejayaan calon-calon serta keinginan mereka untuk menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik. Kami berharap platform ini akan memberikan inspirasi dalam memperluaskan bakat wanita untuk terus membawa kemajuan di rantau ini.”
Anugerah Women of the Future Awards Asia Tenggara 2020 menampilkan sepuluh kategori.
Antara warga Malaysia lain yang tersenarai pendek dalam anugerah tersebut adalah penyampai berita dan editor kanan Astro AWANI Cynthia Ng (Kategori Media dan Komunikasi); Lisa Surihani, Nicole Lai, Ernie Zakri (Kategori Kesenian dan Kebudayaan); Jess Yap (Kategori Bisnes); Nellie Tan (Kategori Mentor) dan Wan Yong Ho dan Dr Siu Yee New (Kategori Sains, Teknologi dan Digital).