Tiga wanita dirempuh kenderaan pemandu khayal, seorang maut
Astro Awani
Februari 5, 2021 22:48 MYT
Februari 5, 2021 22:48 MYT
KOTA BHARU: Tular satu video memaparkan seorang lelaki dibelasah oleh orang ramai selepas kereta yang dipandunya melangar tiga orang pejalan kaki hingga menyebabkan salah seorang daripadanya maut.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11.30 pagi Jumaat di Jalan Pasir Hor, di sini.
Pemandu kereta berkenaan, berusia 33 tahun dipercayai khayal kerana pengaruh dadah dibelasah oleh orang awam setelah melanggar tiga pejalan kaki yang berada di atas pembahagi jalan menunggu untuk melintas jalan.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Lia Ernani, 45 tahun seorang warga Indonesia yang bekerja di sebuah nurseri berhampiran.
Manakala dua lagi mangsa masing masing berusia 64 dan 65 tahun, kedua-duanya wanita turut mengalami kecederaan dengan salah seorang darinya parah.
Dalam kejadian tersebut kereta jenis Proton Satria yang dipandu lelaki berkenaan datang dari Jalan Pasir Hor menuju Jalan Kubang Kerian.
Pada masa sama, ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang berada di atas konkrit pembahagi jalan untuk melintas.
Pemandu kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas memandu dalam keadaan laju sebelum merempuh ketiga-tiga mangsa berkenaan.
Rempuhan berkenaan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.
Pemandu kereta berkenaan ditahan dan ujian air kencing mendapati pemandu berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
#maut
#kemalangan
#Kota Bharu
#wanita
#Lia Ernani
#pemandu khayal
#warga Indonesia
#Jalan Pasir Hor
#Jalan Kubang Kerian