Tiga wakil NGO tarik balik tuntutan kerajaan dedah perjanjian TPPA

Bernama
November 19, 2015 22:53 MYT
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tiga wakil NGO memberitahu pemberita bahawa pihaknya menarik balik tuntutan itu kerana ia bersifat akademik.
Tiga Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini menarik balik tuntutan mereka bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua lagi mendedahkan teks Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
NGO berkenaan ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang diwakili presidennya Mohamad Raimi Ab Rahim, Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS MALAYSIA) diwakili presidennya Nurfitri Amir Muhammad dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (TERAS) yang diwakili naib presiden Ahmad Tarmizi Sulaiman.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tiga wakil NGO memberitahu pemberita bahawa pihaknya menarik balik tuntutan itu kerana ia bersifat akademik selepas teks akhir TTPA itu didedahkan kepada umum pada 5 Nov lepas.
Tuntutan itu antara yang terkandung dalam permohonan ketiga-tiga NGO itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi menghalang Kerajaan daripada menandatangani perjanjian TPPA.
Kes itu disebut di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad, dengan dihadiri peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob mewakili Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kerajaan Malaysia selaku responden.
Mohamed Haniff berkata mahkamah menetapkan 1 Dis ini untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan ketiga-tiga NGO itu.
Teks TPPA akan dibahaskan di Parlimen pada Januari atau awal Februari tahun depan.
Tiga wakil NGO itu yang memfailkan permohonan pada 4 Nov lepas, memohon mahkamah mengeluarkan perintah penggantungan terhadap ketiga-tiga responden daripada meneruskan proses menandatangani TPPA sehingga permohonan semakan kehakiman diputuskan oleh mahkamah.
NGO itu turut memohon deklarasi bahawa menandatangani TPPA adalah tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh menggugat kedaulatan negara.
Selain Malaysia, negara-negara yang terlibat dalam rundingan TPPA ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
#ABIM #Haniff Khatri Abdulla #Najib Tun Razak #Teras #TPPA #Unggas Malaysia
;