Tiga unit rumah terbakar angkara perselisihan faham, lelaki ditahan - Polis

Bernama
Januari 16, 2022 05:07 MYT
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun insiden yang berpunca dari sebuah unit di tingkat empat rumah pangsa ini mengakibatkan tiga unit rumah terbakar kira-kira 90 peratus. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Akibat perselisihan faham dalam keluarga, seorang lelaki yang disyaki kurang siuman bertindak membakar rumahnya hingga mengakibatkan dua lagi unit perumahan awam di Setapak Jaya dekat sini, musnah dalam kebakaran petang semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di lokasi kejadian selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kebakaran tersebut pada kira-kira 4.30 petang.
"Kita menerima maklumat awal berlaku pergaduhan keluarga di lokasi kejadian sehingga menyebabkan suspek disyaki membakar rumahnya sendiri sebelum api merebak ke dua unit rumah lain.
"Suspek yang negatif ujian saringan air kencing itu dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Bernama.
Ashari berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun insiden tersebut telah mengakibatkan tiga unit rumah tersebut musnah terbakar kira-kira 90 peratus.
Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata seramai 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Keramat, Setapak dan Hang Tuah terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran.
"Kebakaran berlaku di tingkat empat rumah pangsa itu dan api berjaya dikawal tidak lama selepas kejadian," katanya.
Kebakaran | Angkara salah faham, tiga unit rumah terbakar
-- BERNAMA
#Setapak Jaya #perumahan awam #Perselisihan Faham #lelaki kurang siuman bakar rumah
;