Tiga ular tedung mengeram telur tepi dinding rumah

Adie Sufian Zulkefli
Januari 7, 2020 12:23 MYT
Anggota bomba yang tiba di lokasi terkejut melihat ular tedung senduk dalam keadaan agresif apabila diganggu. - Foto JBPM Kedah
Awas kepada orang awam, pada musim panas, reptilia berbisa biasanya akan mencari tempat sejuk, bukan sahaja untuk berlindung, malah menetaskan telurnya.
Panggilan orang awam mengejutkan Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang apabila menemui tiga ekor ular tedung senduk yang sedang mengeram telur di sebuah rumah di Kampung Rambai, dekat sini, hari ini.
Ular tedung senduk itu ditemui di dalam lubang di bahagian tepi dinding luar rumah yang dipercayai menjadi tempat persembunyiannya.
Kejadian disedari seorang penduduk yang sedang membersihkan rumahnya lalu bertindak menghubungi pasukan bomba.
Perkara itu disahkan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain.
Menurutnya, pasukan diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nazri Kasa bersama enam anggota yang tiba di lokasi terkejut melihat ular tedung senduk dalam keadaan agresif apabila diganggu.
Tindakan pantas anggotanya berjaya menangkap tiga ekor ular berkenaan dengan menggunakan penjerut.
Sebaik menangkap tiga ekor ular, pihaknya menemui 30 biji telur yang dipercayai baru menetas.
Ular dan telur itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.
#bomba #Kedah #operasi #Pendang #reptilia #tedung #telur #tempat sejuk #ular
;