Tiga termasuk warga emas terselamat insiden tanah runtuh

Bernama
November 7, 2023 21:40 MYT
Seorang wanita warga emas antara tiga individu terselamat dalam insiden tanah runtuh di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Baru 1, Manjoi petang tadi. - Foto JBPM
IPOH: Seorang wanita warga emas antara tiga individu terselamat dalam insiden tanah runtuh di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Baru 1, Manjoi dekat sini petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata wanita berusia 73 tahun bersama dua lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung runtuhan itu pada 4.34 petang, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru dengan bantuan BBP Pasir Puteh digerakkan dan tiba kira-kira setengah jam kemudian di lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi mendapati tanah runtuh berlaku di tepi rumah lereng bukit yang berkeluasan kira-kira 10x80 kaki persegi.
"Tindakan yang dijalankan oleh anggota BBP Pasir ialah mengosongkan rumah yang terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata anggota bomba turut mengalihkan sebuah van yang terperangkap dalam runtuhan berkenaan.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #terselamat #Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Baru 1 #manjoi
;