Tiga termasuk warga emas rentung dalam kebakaran di Sibu
Rudi Affendi Khalik
Mac 1, 2022 22:59 MYT
Mac 1, 2022 22:59 MYT
SIBU: Tiga individu termasuk seorang warga emas rentung dalam satu kejadian kebakaran di Lorong 1A, Jalan Burung Beliris, Kampung Bahagia Jaya dekat sini pada Selasa.
Kesemua mereka dikenali sebagai Rasidah Suut, 80 tahun; Abdullah Bus, 64 tahun dan Sima Abdullah 20 tahun.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.00 malam dan pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.12 malam.
"Dua buah jentera bomba dengan kekuatan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Sibu Sentral dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setiba sahaja tiba di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang telah musnah sama sekali," katanya.
Tambah Ling Hii, berdasarkan maklumat awal, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat mangsa yang terperangkap dan ketika proses overhaul dilakukan, pasukan telah menemui tiga mayat yang rentung.
Kesemua mangsa katanya lagi telah diserahkan kepada pihak polis, untuk prosedur selanjutnya manakala punca kebakaran sedang disiasat.