Tiga termasuk dua kanak-kanak maut treler terbabas di Gopeng

Aida Aziz
November 2, 2020 07:49 MYT
Anggota bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit di dalam lori yang terbalik. - Foto JBPM Perak
GOPENG: Tiga termasuk dua kanak-kanak maut dalam kemalangan jalan raya awal apabila sebuah treler muatan simen yang dinaiki mereka terbabas di bahu jalan berdekatan Jalan Lama Kota Bharu, di sini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.28 malam tadi.
Susulan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dengan dibantu BBP Kampar bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit.
"Mangsa yang terlibat ialah seorang lelaki dipercayai berusia 30 tahun dan dua kanak-kanak lelaki, seorang enam tahun dan seorang lagi lapan tahun.
"Anggota bomba mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa kerana kedudukan lori treler dalam keadaan terbalik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut terlibat membantu di lokasi kejadian adalah anggota agensi lain termasuk polis, Kementerian Kesihatan dan Tenaga Nasional Berhad.
"Kami juga menerima bantuan dari segi jentera berat seperti kren, jentolak dan excavator dalam usaha mengeluarkan mangsa," kata jurucakap itu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar bagi siasatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.19 pagi.
Sementara itu, Bernama melaporkan, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian, abang saudaranya bersama dua anak lelaki sedang dalam perjalanan dari Gopeng menuju ke Langkap dekat Teluk Intan.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #mangsa #bomba #maut #kemalangan #Kanak-kanak #mayat #polis #siasatan #Jalan Lama Kota Bharu #Gopeng #lori terbalik #mangsa tersepit #treler #simen
;