Tiga termasuk dua kanak-kanak maut dalam kemalangan di Sri Aman
Angelina Sinyang
Mac 3, 2020 19:56 MYT
Mac 3, 2020 19:56 MYT
Tiga termasuk dua kanak-kanak terbunuh, manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua lori di Jalan Selepong Maleh, Sri Aman-Betong petang ini.
Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 2.12 petang.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman segera dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.
"Tiba di tempat kejadian, didapati kemalangan itu melibatkan kereta dan dua lori.
"Enam mangsa dilaporkan terperangkap di dalam kereta," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan media di sini, pada Selasa.
Berdasarkan maklumat awal yang diterima, katanya, tiga mangsa termasuk seorang bayi yang duduk di bahagian hadapan kereta cedera parah.
Katanya, seorang warga emas dan dua kanak-kanak berusia empat tahun dan 12 tahun yang duduk di belakang terkorban dalam nahas tersebut.
Mayat mangsa telah diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar untuk rawatan di Hospital Sri Aman.
#Hospital Sri Aman
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#Jalan Selepong Maleh
#JBPM Sarawak
#kemalangan maut
#kemalangan Sri Aman
#Sri Aman-Betong