SUNGAI PETANI: Tiga lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pekerja cuci kereta di Bedong dekat sini, pertengahan bulan ini.


Ringkasan AI
  • Tiga lelaki, termasuk dua beradik, didakwa membunuh seorang pekerja cuci kereta di Bedong pada 15 Ogos.
  • Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali.
  • Ketiga-tiga lelaki itu juga didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang individu menggunakan parang pada tarikh yang sama. Mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen.
  • Tiada pengakuan direkodkan untuk kes bunuh kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Kedua-dua kes akan disebut semula pada 26 September untuk serahan dokumen dan urusan pemindahan kes bunuh ke Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, V. Mathavan, 36, dan adiknya, V. Navin Kumar, 27, serta seorang lagi tertuduh R. Puvaneswaran, 31, bersama dua individu yang masih bebas, didakwa membunuh S. Naarenthiran, 28.

Perbuatan itu dilakukan di lorong belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong Jaya, Bedong dekat sini antara 2.15 pagi hingga 2.30 pagi pada 15 Ogos lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia Inspektor Nurain Safinah Minhat.

Terdahulu, ketiga-tiga lelaki itu turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang individu dengan cara menggunakan parang.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Kesemua mereka didakwa bersama dua lagi individu yang masih bebas telah menyebabkan kecederaan terhadap J. Dinesh, 29, di tapak kosong kawasan Kampung Toh Pawang, Bedong dekat sini, lebih kurang 2 pagi pada tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Sekysen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Lishantini manakala peguam P. Vaasudevan mewakili kesemua tertuduh bagi kedua-dua kes.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 26 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen, selain urusan pemindahan kes bunuh ke Mahkamah Tinggi.

-- BERNAMA