Tiga termasuk bekas suami isteri dihukum penjara seludup keluar migran
Bernama
April 5, 2017 21:00 MYT
April 5, 2017 21:00 MYT
Tiga individu termasuk sepasang bekas suami isteri warga Indonesia dihukum penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah mengaku bersalah menyeludup keluar 54 warga Indonesia secara tidak sah dari negara ini Mac tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap warga Indonesia Jaafar Sidik, 43, bekas isterinya Munawaroh, 40, dan seorang lelaki tempatan, Adnan Ahmad, 42 tahun.
Jaafar, Munawaroh dan Adnan masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam tahun, tiga tahun dan enam tahun dan diperintahkan menjalani hukuman dari tarikh ditangkap 20 Mac tahun lepas.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka mengaku menyeludup keluar 54 warga Indonesia yang terdiri daripada 32 lelaki, 19 wanita dan tiga kanak-kanak menggunakan bot pom-pom menuju ke Indonesia.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Parit 4, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Sabak Bernam kira-kira pukul 10 malam pada 20 Mac tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, ketika proses mitigasi, peguam mewakili kesemua tertuduh, K.A.Ramu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan Jaafar, Munawaroh dan Adnan masing-masing bekerja sebagai nelayan, tukang jahit dan juruteknik penyelenggaraan telah insaf atas kesalahan mereka.
Katanya, hukuman ringan itu wajar memandangkan anak guamnya tidak menyeludup masuk migran berkenaan tetapi berbuat sebaliknya dan pengakuan bersalah mereka menjimatkan kos dan masa mahkamah.
Namun, Timbalan Pendakwaraya Rosidah Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebab melibatkan isu kepentingan awam.
"Bot pom-pom yang dibawa masuk dari Indonesia untuk mengangkut kesemua migran ini juga mengalami kebocoran dan ini boleh mengancam nyawa mereka," katanya. --BERNAMA
#Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007
#ATIPSOM
#bekas suami isteri
#jenayah
#Mahkamah Tinggi
#seludup
#warga Indonesia