Tiga tekong, 16 PATI ditahan cuba keluar dari Malaysia

Sinar Harian
Ogos 29, 2022 10:50 MYT
Seramai tiga tekong dan 16 migran ditahan dalam Op Pintas semasa mereka cuba keluar dari negara ini di Jalan Pengerang, Kota Tinggi pada malam Sabtu. - Foto Sinar Harian
KOTA TINGGI: Polis menahan tiga tekong darat dan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan semak tepi Jalan Pengerang, dekat sini pada tengah malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kesemua tekong darat dan PATI itu diberkas selepas pihak polis menahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga asing.
"Pada jam 12.30 tengah malam Sabtu, bertindak atas maklumat Op Pintas, sepasukan anggota dari Balai Polis Pengerang menahan sebuah kenderaan jenis Honda CR-V di kawasan tepi Jalan Pengerang dipandu lelaki tersebut.
"Hasil soal siasat awal, pemandu tersebut menunjukkan sekumpulan 16 lelaki warga asing berumur lingkungan 21 hingga 46 tahun di kawasan berdekatan disyaki cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, susulan itu pada jam 6 pagi Ahad, pihak polis menahan sebuah kereta Proton Waja dipandu lelaki warga asing berumur 30-an yang disyaki terlibat dalam menguruskan perjalanan kesemua migran tersebut.
"Pihak polis kemudian dibawa ke sebuah rumah penampungan di kawasan Kulai dan menahan seorang wanita warga tempatan disyaki menjadi penjaga rumah itu yang menyediakan tempat sebagai transit kepada kesemua migran berkenaan," katanya.
Hussin berkata, kesemua tekong darat dan PATI itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian
#pati #tekong #Op Pintas #Hussin Zamora
;