'Tiga tahun air mata ini untuk Arshad' - Antashah

Wan Syamsul Amly
Mac 27, 2016 21:34 MYT
Antashah:'Tiga tahun air mata ini untuk Arshad' - Gambar fail
Sambutan hari jadi ketiga untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit atresia biliari (hati) dan menjalani lima kali pembedahan sebelum ini, Arshad Imanshah adalah sebagai tanda syukur terhadap kesihatannya selama ini.
Bapanya, Antashah Mohd Nor berkata, perkembangan Arshad yang kini semakin sihat membuatkannya dan isteri merasa sangat bersyukur pada yang Maha Esa.
"25 Mac, genap usianya 3 tahun. Bila diimbas kembali dugaan yang Arshad tempuhi sejak lahir sehingga kini memang memberikan satu pengalaman hidup yang cukup bermakna buat kami sekeluarga.
"Dua tahun pertama kehidupan Arshad sangat memilukan kepada sesiapa saja yang melihat keadaannya. Pada ketika itu keadaannya sangat kronik.
"Walaupun telah menjalani pemindahan hati namun hati barunya masih tidak boleh berfungsi secara normal. Perutnya sangat besar seolah-olah seperti akan meletup.
"Perasaan saya ketika itu sukar untuk saya luahkan. Tiga tahun air mata ini untuk Arshad," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Jelas Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, semangatnya dikuatkan kembali apabila melihat kanak-kanak yang seusianya berlari cergas dan melompat bermain.
"Saya kuatkan kembali nekad itu untuk melihat Arshad benar-benar sembuh sepenuhnya. Perjalanan kami menjaganya selama tiga tahun usianya kini sebenarnya penuh dugaan dan ujian.
"Kadang-kala saya terpaksa juga tempuh walaupun laluan itu tidak nampak destinasinya. Tapi percayalah dan yakinlah bahawa Allah sentiasa ada membantu untuk kami mencari jalan penyembuhan untuk Arshad," ujarnya.
Katanya lagi, kesihatan Arshad hari ini juga semakin hari semakin baik.
"Kalau orang tidak pernah tahu cerita tentang masalah kesihatannya dulu pasti tidak sangka Arshad pernah melalui pemindahan hati dan pernah menderita sakit.
"Syukur Alhamdulillah. Kekuatan kami selama ini adalah Arshad itu sendiri. Arshad sememangnya seorang anak yang kuat semangat.
"Semangat untuk menjadi seorang kanak-kanak yang kuat dan sihat seperti kanak-kanak lain. Di samping itu sokongan moral dari keluarga dan sahabat handai juga sangat membantu kami untuk meneruskan perjuangan menjaga dan mencari jalan penyembuhan untuknya," jelasnya.
Dalam pada itu Antashah turut meminta mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak istimewa tidak berputus asa untuk kesihatan anak masing-masing.
"Kepada ibubapa yang turut mempunyai anak istimewa seperti Arshad saya mendoakan agar Allah juga membantu anda sekeluarga agar anak anda juga kembali sembuh.
"Jangan sesekali putus asa. Sekiranya rasa sedih menangislah sepuasnya namun bangkit kembali dan usaha bersungguh-sungguh untuk mencari jalan penyembuhan untuk anak anda.
"Anak adalah amanah dari Allah. Apa yang kita lakukan adalah memegang amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan untuk kita. Buatlah yang terbaik untuk anak kita. Selebihnya kita serahkan pada Allah yang Maha Esa," katanya.
#antashah #Arshad #hati #HUS #India #PPUM
;