Tiga suspek samun maut, kereta terbabas dan terbakar selepas dikejar mangsa
Muhafandi Muhamad
Februari 3, 2022 12:05 MYT
Februari 3, 2022 12:05 MYT
TUMPAT: Tiga lelaki dipercayai suspek kes samun kenderaan maut dalam nahas di Kampung Morak, di sini, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Mohd Azmir Damiri, kejadian yang berlaku sekitar jam 2 pagi tadi bermula dengan kes samun.
Sebelum kejadian nahas, ketiga-tiga mereka dan seorang lagi yang masih bebas dipercayai baru sahaja melakukan perbuatan samun dengan membawa lari sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Ford Ranger.
Keempat-empat mereka yang menaiki kenderaan jenis Honda HRV telah cuba membawa lari 4WD tersebut dari sebuah rumah di Kampung Palekbang, di sini.
Pemilik 4WD yang terdengar enjin kenderaan dihidupkan keluar untuk memeriksa, namun mangsa dilibas dengan senjata tajam.
Sejurus kenderaannya dilarikan, mangsa bertindak mengejar suspek menggunakan kereta jenis BMW.
Dalam aksi kejar-mengejar itu, difahamkan kenderaan Honda HRV itu dipandu suspek terbabas dan melanggar tiang pagar sebuah rumah di Kampung Morak menyebabkannya terbakar.
Pemilik 4WD Ford Ranger terus mengejar seorang lagi suspek di dalam kenderaan miliknya sehinggalah ia terbabas di hadapan Pejabat Pos Kubang Kerian.
Suspek yang memandu kenderaan itu bagaimanapun berjaya melarikan diri.
Menurut Mohd Azmir, ketiga-tiga mangsa yang berada dalam Honda HRV maut dengan dua daripadanya rentung.
Pemandu kenderaan itu dikenal pasti seorang warga tempatan berusia 33 tahun.
Menurut Mohd Azmir lagi, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1941.
Mayat ketiga-tiga suspek kini berada di Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.
Polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri.