Tiga suspek pecah rumah ditahan selepas berbalas tembakan dengan polis
Bernama
Disember 11, 2016 07:28 MYT
Disember 11, 2016 07:28 MYT
Polis memberkas tiga suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan curi lembu selepas berlaku kejadian berbalas tembakan di Bukit Selambau, di sini, pada Ahad
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Saifi Abdul Hamid berkata, ia bermula dengan satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan keluarga yang melibatkan seorang mangsa lelaki dan rakannya dipukul sekumpulan lelaki yang bermotifkan dendam lama sekitar 4.30 petang.
"Pengadu (mangsa) kemudian berjaya melarikan diri dan ketika itu, dia terdengar tembakan dilepaskan ke arahnya. Namun tembakan itu tersasar.
Pengadu menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan menyelamatkannya dan salah seorang rakannya yang dibawa lari oleh suspek yang dikenali sebagai `Man Askar'," katanya menerusi satu kenyataan.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dan anggota Task Force Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Muda ke lokasi dan terserempak sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria berwarna perak dan sebuah kereta Proton Aeroback yang disyaki dipandu oleh suspek-suspek berkenaan (umur belum dipastikan).
"Ketika pasukan Task Force menjerit memperkenalkan diri, kedua-dua kenderaan dipandu suspek terus memecut melarikan diri.
"Dalam polis mengejar suspek, dua das tembakan dilepaskan oleh suspek dari dalam Naza Ria ke arah pasukan Task Force.
Keadaan itu memaksa pasukan Task Force membalas tembakan di mana tembakan tersebut terkena tayar Naza Ria di hadapan sebuah stesen minyak di pekan Bukit Selambau," jelasnya.
Akibat tembakan, Naza Ria itu terbabas di kiri jalan di hadapan Sekolah Menengah Bukit Selambau dan empat suspek daripada kenderaan itu melarikan diri.
"Berlaku pergelutan sebelum polis berjaya menahan dua suspek. Pemeriksaan ke atas kereta tersebut menemukan rakan mangsa dalam keadaan terikat serta lebam akibat dipukul.
"Tidak beberapa lama kemudian, pasukan Task Force juga telah berjaya menahan seorang lagi suspek berdekatan pekan Bukit Selambau," katanya.
Saifi berkata, semakan ke atas enjin Naza Ria tersebut mendapati nombor casis telah diubah malah polis turut menemui tiga parang, tiga batang rotan dan sebilah pisau termasuk peralatan pecah rumah.
"Polis turut menemui peralatan menghisap dadah dan alat suntikan pelali yang dipercayai digunakan untuk mencuri lembu," jelasnya.
Kesemua suspek yang ditahan disiasat di bawah Akta Senjata Api 1971, Seksyen 307 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan. -- Bernama