Tiga suspek jenayah samun, curi kenderaan mati ditembak polis di Rawang

Astro Awani
Januari 18, 2025 17:19 MYT
Polis menembak mati tiga individu disyaki terbabit kegiatan samun dan curi kenderaan di Rawang tengah hari tadi (18 Jan). - Foto BERNAMA
RAWANG: Tiga individu, dua daripadanya rakyat tempatan, yang disyaki aktif dalam kegiatan menyamun dan mencuri kenderaan, mati ditembak polis di Persiaran Kota Emerald, di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu sidang media khas berkata, pihak polis pada awalnya mengesan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, polis cuba menahan kereta tersebut, namun suspek telah melepaskan tembakan terhadap anggotanya dan cuba melarikan diri.
Susulan itu, Mohd Shuhaily berkata, polis bertindak mengejar kenderaan tersebut hingga sejauh 750 meter, dan berjaya menembak mati ketiga-tiga suspek.
Setakat ini beliau berkata, dua lelaki warga tempatan berusia antara 40 hingga 43 tahun, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui padanya.
"Suspek menggunakan kenderaan yang disewa sebelum menukar nombor pendaftaran kenderaan dengan nombor palsu hari ini, mereka didapati telah menyewa sebuah kenderaan dan juga menukar nombor pendaftaran.
“Kita percaya mereka dalam usaha melakukan satu lagi jenayah pada hari ini," katanya lagi.
#polis tembak mati penjenayah #curi kereta #Rawang #Mohd Shuhaily Mohd Zain #terkini
;