Tiga suspek ditahan kes tembak ahli perniagaan
Hakim Rahman
Januari 10, 2016 14:30 MYT
Januari 10, 2016 14:30 MYT
Polis menahan tiga suspek bagi membantu siasatan kes tembak seorang ahli perniagaan di Sibu, Sarawak yang ditembak lewat malam Sabtu.
Ketua Polis Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi berkata, ketiga-tiga individu berkenaan berusia dalam lingkungan 30-an ditahan beberapa jam selepas insiden berlaku.
"Semua mereka ditahan di sekitar Sibu di tiga lokasi berasingan kira-kira jam 2.30 pagi Ahad," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam Sabtu, seorang ahli perniagaan Ting Meng Min, 30, maut manakala seorang wanita warga China parah ditembak dari jarak dekat ketika menikmati makan malam di sebuah restoran di Jalan Lanang.
Difahamkan, sebaik mangsa bersama-sama tiga rakan lagi tiba di restoran itu, mereka dihampiri sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna putih.
Tiga individu di dalam kenderaan itu kemudiannya bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kumpulan berkenaan.
Tambah Mohd Kamal, pihaknya kini sedang mengesan kenderaan pikap berkenaan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari beberapa premis berhampiran.
Polis tidak menolak motif kejadian kemungkinan berpunca persaingan perniagaan dan perebutan kawasan membabitkan kumpulan kongsi gelap.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.