Tiga sungai di Terengganu lepasi paras bahaya

Hafizi Rosli
November 18, 2020 12:47 MYT
Amaran cuaca bahaya peringkat merah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia dengan hujan lebat berterusan di empat kawasan di Terengganu. -Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Tiga sungai di Terengganu melepasi paras bahaya susulan hujan berterusan sejak Selasa.
Ia membabitkan sungai di daerah Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.
Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my hingga 11.45 pagi Rabu, Sungai Tebak di Kemaman berada pada tahap bahaya dengan aras air pada 22.01 meter.
Dua sungai lain ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dengan paras 21.56 meter melebihi tahap bahaya 21 meter dan Sungai Telemong, Hulu Terengganu dengan 20.04 meter melebihi paras bahaya 19.7 meter.
Sementara itu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dalam keadaan amaran apabila paras air pada 12.13 meter melebihi tahap 12 meter.
Empat sungai lain di Terengganu dalam keadaan berwaspada apabila hampir melepasi tahap bahaya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) keluarkan amaran cuaca bahaya peringkat merah dengan hujan lebat dijangka berterusan di empat kawasan di Terengganu, bermula malam Selasa dan dijangka berlarutan sehingga Rabu.
#monsun timur laut #terengganu #hujan berterusan #Sungai Tebak #Sungai Nerus #Kampung Langkap #Sungai Telemong #Kampung Bukit #Meteorologi Malaysia
;