Tiga sindiket tumpas, dadah lebih RM24 juta dirampas
Bernama
Oktober 9, 2024 17:20 MYT
Oktober 9, 2024 17:20 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan tiga sindiket pengedaran dan merampas dadah berjumlah lebih RM24 juta dalam tiga operasi berasingan di sekitar Lembah Klang serta Johor pada 5 dan 7 Okt.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata dalam operasi pertama pada 5 Okt, pihaknya melakukan lima serbuan di Eco Sky Residence di sini dan di Muar, Johor bermula pukul 11.45 pagi.
Beliau berkata dalam lima siri serbuan itu, polis menahan tujuh individu masing-masing lima lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand berumur 34 hingga 48 tahun, termasuk ketua sindiket berkenaan.
"Kami merampas pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 111.96 kilogram (kg), ketamin (19.49kg), pil eramin 5 (60 biji), heroin (138 gram) dan pil ekstasi (empat biji) bernilai RM5 juta.
"Modus operandi sindiket ini, menggunakan kondominium mewah dan kenderaan pemilik yang telah meninggal dunia, serta kenderaan tanpa tukar hak milik untuk dijadikan sebagai stor simpanan dadah sebelum diedar kepada pembeli," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Khaw berkata sindiket itu juga menggunakan tokong Cina untuk melindungi aktiviti haram berkenaan, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39B(1) ADB.
Beliau berkata kesemua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari bermula 6 Okt.
Dalam operasi kedua pada 7 Okt, Khaw berkata polis menggempur sebuah premis di Taman Perindustrian KIP Kepong di sini dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun yang bertindak sebagai penjaga stor dan penghantar, yang disyaki ahli sindiket berkenaan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan dan premis itu telah menemukan 350 paket bertulis 'Apple Merah' disyaki dadah methamphetamine seberat 358kg dengan nilai anggaran RM11.4 juta.
"Sindiket ini mula aktif sejak awal tahun ini, dan modus operandi sindiket kedua ini menjadikan premis yang disewa baru empat hari itu sebagai tempat penyimpanan dadah, sebelum diedarkan untuk pasaran dalam negara terutamanya di Lembah Klang," katanya.
Sementara itu, pada tarikh sama pukul 10.30 malam, polis dalam operasi ketiga menyerbu sebuah rumah di sekitar Bandar Manjalara Kepong di sini dan menahan tiga warga Thailand, masing-masing seorang lelaki dan dua wanita berumur 22 hingga 24 tahun.
Khaw berkata pemeriksaan di ruang tamu tingkat bawah premis berkenaan menemukan 250 bungkusan bertulis 'Guanyinwang' disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 256kg, selain 125 tong ovalet (bahan buat kek) dengan setiap tong dimasukkan dua bungkusan syabu bernilai RM66,000 yang telah dibungkus kedap udara.
"Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM8.18 juta dan boleh digunakan lebih 1.2 juta penagih, dengan sindiket itu dipercayai telah mula aktif sejak awal tahun ini.
"Modus operandi sindiket itu, menjadikan premis berkenaan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan untuk pasaran Lembah Klang dan luar negara," katanya.
Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan dalam operasi kedua dan ketiga direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 14 Okt, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.
-- BERNAMA