Tiga sepupu maut, kereta rempuh lori bawa surat khabar

Astro Awani
Ogos 19, 2018 14:15 MYT
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan waris mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu. - Gambar ihsan JBPM
Tiga sepupu maut selepas kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori membawa muatan surat khabar di kilometer 291.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Pulai, pada Ahad.
Nahas yang berlaku pada jam 4.40 pagi itu menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda itu Nishan Singh Dhillon a/l Baldev Singh, 30 tahun, dan dua penumpang Rajminder Singh a/l Niranjan Singh, 26 tahun serta Gurdial Singh a/l Swaran Singh, 28 tahun maut di tempat kejadian.
Kesemua mangsa berasal dari Kampar, Perak.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan ke rumah mereka di Kampar dari Ipoh, manakala pemandu lori, A. Vellusamy, 40 tahun pula dari Ipoh menuju ke Tapah.
"Pemandu lori berada pada lorong kiri, ketika sampai di tempat kejadian apabila tiba-tiba kereta Toyota Hilux yang dipandu oleh Nishan Singh Dillon datang dari arah belakang pada lorong kanan dan telah melanggar bahagian bucu tepi sebelah kanan lori tersebut mengakibatkan ia terbabas melanggar penyangga jalan sebelah kiri lalu terbalik.
"Impak pelanggaran menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu hilang kawalan, terbabas dan mengakibatkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar dari kereta dinaiki mereka," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.
Kong Soon berkata, akibat kemalangan tersebut kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kampar.
Sementara pemandu lori, Vellusamy mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan lurus, kering dengan dua lorong satu hala selain keadaan gelap tanpa lampu jalan kerana awal pagi.
"Toyota Hilux dinaiki semua mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian kiri manakala lori pula mengalami kerosakan pada bahagian kanan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan waris mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya.
#Gurdial Singh a l Swaran Singh #Kampar #kemalangan #Ketua Polis Daerah Kampar #Ng Kong Soon #Nishan Singh Dhillon a l Baldev Singh #Perak #Rajminder Singh a l Niranjan Singh #sepupu
;