Ziana Zain, Jalaluddin Hassan, Dr Sheikh Muszaphar tiba di SPRM, media gagal kesan kehadiran
Astro Awani
Februari 6, 2025 10:05 MYT
Februari 6, 2025 10:05 MYT
PUTRAJAYA: Tiga selebriti yang dikaitkan dengan sindiket syarikat perunding kewangan iaitu penyanyi ternama, Ziana Zain; pelakon tersohor, Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.
Bagaimanapun, sekumpulan petugas media yang berhimpun di pintu utama SPRM gagal mengesan ketiga-tiga personaliti popular berkenaan.
Astro AWANI difahamkan kenderaan yang membawa ketiga-tiga selebriti berkenaan memasuki bangunan SPRM jam 9.30 pagi menggunakan laluan belakang.
Sebelum ini, Ziana, Jalaluddin dan Dr Sheikh Muszaphar dilaporkan berada dalam pemerhatian dan siasatan SPRM berhubung satu sindiket tawaran pinjaman.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, tiga selebriti terbabit dijangka hadir di Ibu Pejabat SPRM jam 10 pagi ini.
Menurut Azam, SPRM akan merakam keterangan tiga selebriti itu bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Ops Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.
Beliau turut menegaskan, Ziana, Jalauddin dan Dr Sheikh Muszaphar tidak dianggap sebagai suspek, sebaliknya, keterangan masing-masing diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan.
SPRM pada Januari lalu, berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan dalam operasi Ops Sky.
Terdahulu dilaporkan, siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.