Tiga sekeluarga maut nahas dekat Tanjung Malim

Astro Awani
Oktober 10, 2015 13:22 MYT
Kemalangan itu menyebabkan struktur papan tanda tersebut tumbang dan kemudian tumbang menghempap sebuah kereta Mercedes yang bergerak di lorong tengah. - Foto Bomba
Tiga sekeluarga maut dalam satu kemalangan selepas kenderaan yang dinaiki mereka dihempap struktur papan tanda di kilometer 399.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Tanjung Malim ke Behrang, awal pagi tadi.
Pasangan suami isteri dan seorang anak perempuan mereka maut di tempat kemalangan. Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 6.35 pagi itu adalah Dzulkarnain Kamaruzzaman, 64, isterinya Jamnah Ibrahim, 56, dan anak perempuan mereka, Nur Juliana, 17.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt. R. Supramaniam dalam satu kenyataan memaklumkan kemalangan sekitar 6.35 pagi ini berlaku apabila sebuah lori kontena yang menuju ke Ipoh merempuh bahagian belakang sebuah lori.
Akibat rempuhan itu, lori kontena berkenaan terbabas, lalu terbalik dan melanggar struktur tiang papan tanda.
Kemalangan itu menyebabkan struktur papan tanda tersebut tumbang dan menghempap sebuah kereta Mercedes yang sedang berada di lorong tengah.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat dan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
Sementara pemandu dan kelindan lori kontena yang cedera dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan.
Seorang lagi pemandu lori kontena telah ditahan bagi menjalani ujian air kencing dan siasatan lanjut.
Kemalangan turut menyebabkan kesesakan jalan raya hampir dua kilometer.

10/10/15: KMLGN 2 LORI & KERETA DI KM 399.8 PLUS ARAH SELATAN (Tg Malim) 6.13 pagi. 1L & 2W maut tersepit #BOMBA pic.twitter.com/Ds0vj3mRYI

— BOMBA (@bombaJBPM) October 10, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bomba #kemalangan #lori kontena #polis
;