Tiga sekeluarga maut kemalangan dua kenderaan

Noraniza Kamsani
Jun 14, 2019 19:32 MYT
Kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga dan sebuah Chery Eastar. Foto ihsan bomba.
Tiga sekeluarga maut selepas kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Chery Eastar di Kampung Cherok Paloh, di sini, hari ini.
Mangsa yang maut adalah, pemandu kereta berkenaan, Nurul Jannah Bazlan, 24 tahun, ibunya, Asnawati Muslimin, 53 tahun, dan anak Nurul Jannah, Nur Syaffina Qalesya Mohammad Solahuddin, 4 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian kira-kira jam 3.54 petang itu berlaku ketika kereta yang dipandu Nurul Jannah dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pekan.
"Namun, sampai di tempat kejadian, kereta itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Chery Eastar yang menuju ke Kuantan.
"Akibat pertembungan itu, semua mangsa maut di tempat kejadian sementara empat lagi cedera dan kini sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mereka yang cedera ialah adik kepada Nurul Jannah, Nurul Syaffiya, 17 tahun, pemandu Chery Eastar, Nasran Samsudin, 52 tahun, dan penumpang hadapan kenderaan itu Masnida Muda, 46 tahun.
Satu lagi identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
Nasran dan Masnida, pasangan suami isteri yang berasal dari Kampung Pulau Tambun, Pekan, kini dirawat di Hospital Pekan.
Mohamad Noor berkata, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengesan saksi kejadian dan merakam keterangan mangsa yang terselamat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
#bomba #Chery Eastar #Kampung Cherok Paloh #Kanak-kanak #kemalangan #kereta #Kuantan #mangsa #maut #mayat #Mohd Sani Harul #Pekan #polis #Proton Saga #suami isteri
;