Tiga sekeluarga maut kebakaran di Pagoh berkemungkinan dibunuh - Polis

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 10, 2024 07:30 MYT
Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar. - Gambar fail
PAGOH: Kematian pasangan warga emas dan cucu mereka dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, di sini semalam dipercayai akibat dibunuh.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ia selepas laporan bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa mendapati terdapat unsur jenayah.
"Hasil siasatan lanjut pihak polis di lokasi kejadian dan hasil laporan bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa mendapati terkesan unsur-unsur jenayah.
"Oleh yang demikian, pihak polis mengklasifikasikan semula kes di bawah seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh, seksyen 436 kanun sama kerana khianat dan seksyen 326 kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata," katanya dalam kenyataan di sini.
Muka anak ada kesan hentakan ada ketukan - Bapa mangsa
Mengulas lanjut katanya, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek utama iaitu anak lelaki sulung pasangan warga emas berkenaan Azman Mohamaed Nor, 48, yang dipercayai melarikan diri ketika kejadian bagi membantu siasatan.
"Usaha mengesan suspek utama kejadian kebakaran itu kini sedang giat dilakukan dan kita memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat.
"Maklumat boleh disalurkan terus dengan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan (ASP) Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592 atau hubungi hotline Ibu Pejabat Polis (IPD) Muar di talian 06-9564800, atau mana-mana balai polis berhampiran,"tambahnya.
Terdahulu, dalam kejadian awal pagi Jumaat pasangan warga emas Mohamed Nor Mohamed Yassin,82, dan Ara Abdul Hamid,76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, 11 tahun maut selepas rumah mereka hangus dijilat api.
Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HPSF.
Kanak-kanak berusia 11 tahun berkenaan kemudian selamat disemadikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Paya Redan, di sini pagi tadi.
Manakala jenazah datuk dan neneknya yang turut terkorban dalam nahas itu masih belum dapat dituntut sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaannya yang rentung lebih 80 peratus.
#kebakaran Pagoh #warga emas dan cucu maut #kemungkinan dibunuh #polis muar