Tiga sekeluarga maut dalam kebakaran sempat makan malam bersama
Adie Sufian Zulkefli
September 18, 2023 18:00 MYT
September 18, 2023 18:00 MYT
SUNGAI PETANI: Tiga sekeluarga yang maut dalam kebakaran melibatkan lapan unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda di sini awal pagi tadi sempat makan malam bersama keluarga di Bertam, Pulau Pinang sebelum tragedi Itu.
Menurut sepupu mangsa, Linda Yee, 48, dia terkejut sebaik mengetahui kejadian yang menimpa anggota keluarganya itu pada jam 6 pagi tadi.
Dia yang juga ahli Bomba Sukarela, Sungai Petani berkata, dia mengetahui daripada kumpulan WhatsApp keluarga tiga beranak itu bahawa mereka dalam keadaan gembira menjamu selera di sebuah restoran di Bertam Seberang Perai Utara, Pulau Pinang malam tadi.
Katanya, setiba di lokasi dia terkejut apabila diberitahu sepupunya, Lee Chew Fong, 61, dan suaminya, Lim Yang Kooi, 66, serta ibu saudaranya, Yong Swee Lan, 92, ditemukan rentung dalam kebakaran hari ini.
Menurut Linda, mereka bertiga tinggal di Bertam selepas membeli rumah di sana sejak setahun lalu dan hanya pulang ke rumah kedai itu pada setiap hari Isnin untuk berniaga pasar pagi di hadapan rumah kedai itu.
Katanya, ibu saudaranya pula sudah uzur dan bergerak dengan bantuan tongkat manakala sepupu dan suaminya itu pula sihat serta rajin bekerja.
Linda berkata, ibu saudaranya mempunyai lima orang anak tetapi seorang sudah meninggal dunia dan sekarang cuma hanya tinggal empat orang yang tinggal bersama di Bertam.
"Semalam dia makan makan bersama anak-anak semua 'happy' sahaja. Tidak sangka dia boleh terbakar macam itu, selalunya dia tidak duduk di sini, dia duduk dekat Taman Bertam, Pulau Pinang, tetapi macam itu tak sangka lah," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pemilik kedai perabot, Azizah Jaafar, 70, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya yang salah satu daripada lapan unit rumah kedai milik mereka itu musnah dalam kebakaran.
Katanya, kedai itu dibeli oleh arwah suaminya kira-kira 20 tahun lalu dan disewakan kepada peniaga kedai perabot berkenaan.
Katanya, sejurus tiba dia terlihat api sedang marak membakar di tingkat atas rumah kedai itu.
Dia yang juga ibu tunggal bergantung pada duit sewa RM400 namun kini hilang punca pendapatan.
"Makcik tak tahu, tengok-tengok dah terduduk habis dah rumah, habis dah kedai, " luahnya.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan tiga beranak rentung dalam kebakaran lapan unit rumah kedai di Jalan Sungai Emas.
Mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
Kebakaran itu memusnahkan 85 peratus kelapan-lapan rumah itu.
Api berjaya dipadam sepenuhnya jam 12 tengah hari dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.