Tiga sekeluarga ditemui mati di Sibu, dipercayai terhidu gas memasak
Bernama
Julai 5, 2013 18:59 MYT
Julai 5, 2013 18:59 MYT
Tiga sekeluarga ditemui mati di rumah mereka di kawasan Perumahan Estate Pulau Li Hua di sini hari ini, dipercayai akibat terhidu gas memasak.
Mayat suri rumah Ling Yung Ming, 40, anak perempuannya Cristine Tiang Soon Ai, 14, dan anak lelakinya Victor Tiang Soon Sheng, 2, ditemui kira-kira 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail berkata seorang lagi anak pasangan itu yang berusia 17 tahun berjaya menyelamatkan diri setelah melompat keluar melalui tingkap dan meminta bantuan jiran yang kemudian menghubungi polis.
Beliau berkata sehubungan itu polis kini mencari seorang lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai kontraktor pembersihan tapak dan merupakan anggota keluarga terdekat mangsa bagi membantu siasatan.
"Remaja lelaki yang terselamat itu menyedari kejadian yang menimpa ibu dan dua adiknya itu setelah bangun dari tidur pagi ini dan melihat keadaan ibu dan adik lelakinya terbaring di lantai manakala adik perempuannya di atas tilam," katanya.
Shafie berkata lelaki yang ketika kejadian berada di rumah itu, kemudian melarikan diri dengan pacuan empat roda jenis Toyota.
Shafie berkata mayat wanita dan dua anaknya itu dihantar ke rumah mayat Hospital Daerah Sibu untuk bedah siasat.