Tiga sekeluarga cedera, banglo dua tingkat terbakar di Ayer Tawar

Abd Razak Mohd Ali
Mac 31, 2023 15:53 MYT
Setibanya jentera bomba di lokasi didapati satu kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang telah terbakar 50 peratus. - Foto JBPM Perak
BERUAS: Tiga sekeluarga cedera dalam kebakaran yang melibatkan kebakaran sebuah banglo dua tingkat di Taman Dinding, Ayer Tawar, dekat sini, hari ini.
Mangsa yang cedera terdiri dari seorang lelaki berusia 28 tahun, wanita 34 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar, Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Khairul Basri Sulaiman, mereka menerima panggilan itu pada 9.48 pagi.
“Setibanya jentera di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat musnah terbakar 50 peratus.
“Terdapat tiga mangsa, di mana mangsa lelaki mengalami kecederaan di bahagian kaki manakala mangsa wanita dan kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, semua mangsa dibawa keluar oleh anggota bomba dan diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.
“Anggota menggunakan satu aliran hos 200 kaki, dua pancutan dari sumber air pili bomba,” ujarnya.
Operasi yang turut dibantu anggota dari BBP Sitiawan dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Tawar tamat jam 1.30 petang.
#banglo terbakar #Ayer Tawar #Beruas #tiga cedera
;