Tiga sekawan mati lemas, kesemua mayat ditemui
Raffi Bachik
Januari 2, 2018 15:48 MYT
Januari 2, 2018 15:48 MYT
Dua lagi mayat mangsa lemas tragedi menjala di Sungai Pedas, Rembau, Negeri Sembilan ditemui sekitar jam 11 pagi tadi, sekaligus melengkapkan carian semua tiga jasad kanak-kanak yang lemas ketika menjala di sungai berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis berkata, mangsa kedua Muhamad Syafiq Rosli, 15, ditemui pada jam 10.10 pagi manakala mangsa terakhir Muhammad Alias Sadri, 15, ditemui 45 minit kemudiannya.
Kedua-dua mangsa ditemui terperangkap di kawasan dasar sungai yang pasirnya digali dengan jarak 10 meter antara satu sama lain.
"Jarak mangsa ditemui dari mangsa kedua lebih kurang tiga meter dan kita percaya kedua-dua mereka cuba selamatkan mangsa yang kita jumpai semalam kerana kedudukan mangsa tidak jauh dari satu sama lain," jelas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Norazam Khamis.
Jenazah Muhammad Iqqmal Haziq Muhammad Nozili, 12, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Undang Rembau ditemui semalam dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi proses bedah siasat.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, ACP Nazruel Ekram Abu Shari berkata, susulan insiden berkenaan, pihaknya akan bertemu dengan Pejabat Daerah Rembau berikutan cadangan menutup lokasi berkenaan kepada orang awam.
#bomba
#Hospital
#jenazah
#Kanak-kanak
#lemas
#mangsa
#mayat
#menjala
#Negeri Sembilan
#polis
#sekolah
#Seremban
#Tiga sekawan