Tiga sekawan guna bot sendiri bantu mangsa banjir di Kota Tinggi

Bernama
Disember 18, 2019 12:28 MYT
Jalan yang terputus akibat dinaiki air menyebabkan pengguna jalan kawasan Jalan Kota Tinggi-Mersing terkandas ketika tinjauan Bernama di Jalan Kota Tinggi-Mersing d Kota Tinggi, 17 Dis, 2019. --fotoBERNAMA
Menggunakan sumber sendiri, tiga sahabat di Kampung Mawai Baru, dekat sini, mengambil inisiatif membantu menyelamat dan memindahkan penduduk yang terkandas ke pusat pemindahan banjir sejak Ahad lalu.
Zamzul Arifin Mohidin, 38; Sapari Amat, 37; dan Hadi Salleh, 42, secara sukarela menawarkan diri membantu mangsa banjir menggunakan bot gentian kaca sepanjang 7.31 meter milik Sapari dan segera memindahkan mereka sebaik tahu ada kediaman yang dinaiki air.
"Sekarang ni dah macam acara setiap tahun. Kami bertiga secara sukarela membantu memindahkan penduduk yang terperangkap akibat banjir.
"Ahad lepas, 25 penduduk yang tinggal di Jalan Mohamad Jambi dan Jalan Pinang Sebatang berjaya kami pindahkan menggunakan bot tersebut setelah mereka terperangkap disebabkan air naik terlalu cepat sedalam 1.2 hingga 1.8 meter," kata Zamzul kepada Bernama ketika ditemui, di sini, hari ini.
Kesemua 25 mangsa banjir itu kemudiannya dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Kebangsaan Mawai.
Tambahnya, mereka tidak mendapat bantuan daripada sesiapa sebaliknya menggunakan sumber kewangan sendiri untuk membeli bahan api bot berkenaan.
"Memandangkan ada jalan yang ditutup, kami juga memberi perkhidmatan menaiki bot ke laluan Jalan Kota Tinggi-Mersing. Mereka yang ingin menaiki bot untuk meninjau banjir atau ke kedai yang terletak di tepi jalan besar membayar seikhlas hati mereka," kata Zamzul.
Setakat semalam, laluan utama ke Mersing dari Kota Tinggi masih ditutup untuk semua kenderaan kerana masih dinaiki air.
Pada malam hari pula, tiga sahabat itu turut membantu anggota Rela meninjau kawasan perumahan yang dilanda banjir bagi memastikan tiada berlaku sebarang aktiviti pecah masuk rumah dan kecurian barang-barang.
-- BERNAMA
#anggota Rela #banjir #bantuan #bot gentian kaca #jalan terputus #Kota Tinggi #mangsa banjir #menyelamat #Mersing #PPS #pusat pemindahan
;