Tiga sekawan didenda RM5,000 halang tugas polis sewaktu PKP
Abd Razak Mohd Ali
Mac 26, 2020 15:52 MYT
Mac 26, 2020 15:52 MYT
Mahkamah Majistret Teluk Intan, Perak pada Khamis menjatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang terhadap tiga sekawan atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam yang memantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu.
Hakim Mahkamah Sesyen Teluk Intan, Mujid Saroji yang mengendalikan prosiding menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, S. Surinthran, 28, K. Rajet Rao, 19 dan M. Viknes Rao, 18, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Akta Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketiga-tiga tertuduh yang beralamat di Hutan Melintang menangis sebaik sahaja mahkamah menjatuhkan hukuman.
Mereka yang bekerja sebagai mekanik ditahan sepasukan anggota polis di hadapan sebuah kedai serbaneka di Rungkup, Bagan Datuk kira-kira jam 7.50 malam, 25 Mac lalu.
Ketiga-tiga mereka yang ketika itu dipercayai sedang minum arak bertindak agresif dan enggan digari ketika ditahan sepasukan anggota polis yang membuat rondaan di kawasan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nur Azimah Che Ismail manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam
#coronavirus
#COVID-19
#koronavirus
#Mahkamah Majistret
#Mahkamah Sesyen
#penjawat awam
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#polis
#Teluk Intan