Tiga saudara rentung kemalangan lepas hantar juadah Deepavali ke rumah nenek
Abd Razak Mohd Ali
November 14, 2023 14:52 MYT
November 14, 2023 14:52 MYT
IPOH: Nahas yang menyebabkan tiga bersaudara rentung di Jalan Bercham malam tadi berlaku selepas mereka menghantar juadah sempena Deepavali ke rumah nenek mereka di Taman Perpaduan.
Mangsa yang maut adalah M. Krishna, 20, yang memandu kereta jenis Proton Perdana bersama adik lelakinya, Pavilesh, 16, dan sepupu mereka N.K. Subash Varman, 16.
Bapa dua beradik itu, M. Manimaran, 50, berkata, anaknya keluar dari rumah mereka di Taman Cempaka sekitar jam 4 petang untuk menghantar beberapa jenis juadah yang dimasak isterinya sebelum mengambil sepupu mereka di Bercham.
“Isteri saya masak untuk beri kepada nenek mereka. Jadi mereka nak pergi hantar makanan dekat opah sempena Deepavali,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.
Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi anaknya kira-kira jam 6 petang dan mereka memaklumkan untuk singgah di rumah rakan terlebih dahulu sebelum pulang.
“Saya cuba hubungi lagi beberapa kali selepas pukul 7 malam tetapi tiada jawapan.
“Saya cuba cari rumah kawan dia tapi tak jumpa dan buat laporan di Balai Polis Taman Cempaka sekitar jam 10 malam tapi polis kata akan hubungi semula... sebab belum cukup tempoh 24 jam (hilang),” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya tidak lama selepas itu, pegawai polis datang ke rumahnya dan memaklumkan mengenai kemalangan yang meragut nyawa tiga bersaudara itu.
Manimaran yang bekerja di sebuah syarikat pengangkutan berkata, anak-anaknya sering ke rumah nenek mereka setiap hujung minggu atau cuti.
“Krishna adalah cucu suloug dan sangat manja dengan emak saya. Setiap hari minggu atau cuti, dia akan pergi rumah opahnya,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak perempuan.
Sementara itu, bapa kepada Subash Varman, L. Nantha Kumar, 41, berkata, dia dan isteri, Nirmala Dewi, 38, tidak tahu anaknya pergi ke mana sebelum kejadian itu.
“Saya tak tahu dia pergi mana, dia keluar tak bawa beg duit... kad pengenalan pun dia tak bawa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tiga individu rentung setelah kenderaan yang dinaiki dipercayai merempuh bahagian hadapan lori sampah lalu terbakar di Kawasan Perindustrian Bercham, di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 8.05 malam.