Tiga sahabat mengaku tidak bersalah culik Nayati

Astro Awani
Februari 18, 2013 18:04 MYT
Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini terhadap pertuduhan menculik kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Mood Liar, 12, pada April tahun lepas.
Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri berserta rakannya Foong Khar Fai, 20, yang merupakan seorang penjual telefon bimbit dan penganggur Lee Phak Seng, 24, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Kamardin Hashim.
Kamardin menetapkan dua minggu bermula 15 hingga 19 April dan 13 hingga 17 Mei untuk perbicaraan kes itu.
Timbalan Pendakwa Raya Jean Sharmila Jesudeson memberitahu mahkamah seramai 15 saksi pihak pendakwaan dan pembelaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Ketika ditemui media selepas prosiding kes itu, Jean berkata antara saksi yang akan dipanggil termasuklah mangsa culik, Nayati.
Pada 22 Mei tahun lepas, ketiga-tiga mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menculik Nayati, dan tiada pengakuan direkodkan.
Ketiga-tiga lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa menculik kanak-kanak berkenaan di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, 7.30 pagi pada 27 April 2012 mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Nayati dibebaskan penculiknya di kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS pada 7.55 pagi 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, di sini.
Chong diwakili peguam Rejinder Singh, manakala Foong diwakili peguam Zamri Ibrahim dan Lee diwakili peguam K.T. Wong.
#culik #Jean Sharmila #Kanak-kanak warga Belanda #Nayati Shamelin
;